Premium

Takaful dan Takaful Semula : Perbincangan Beberapa Isu Serta Fatwa Pilihan

Takaful adalah salah satu industri yang telah diperkenalkan di Malaysia melalui penggubalan Akta Takaful 1984. Akta ini yang menjadi sebagai rangka perundangan untuk industri takaful yang pertama di Malaysia juga merupakan akta berkaitan industri insurans Islam yang pertama di dunia. Sebelum akta ini diperkenalkan, tiada akta lain yang berkaitan dengan industri ini pernah diperkenalkan di tempat-tempat lain. Ini juga menjadikan Malaysia sebagai negara pertama yang mempelopori bidang takaful dengan mempunyai akta berkaitan industri ini. Dari segi institusi, Syarikat Takaful berlesen pertama ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1985 dan dikuti dengan yang lainnya sehinggalah pada hari ini terdapat dua belas Syarikat Takaful berlesen di Malaysia.

Banyak perkembangan perundangan serta aspek fatwa Shari’ah yang berlaku sejak industri takaful bermula di Malaysia. Majlis Penasihat Shari’ah Bank Negara merupakan badan tertinggi yang berikan kuasa untuk mengawal selia aspek Shari’ah berkaitan dengan industri takaful. Badan ini disokong oleh Penasihat Shari’ah yang dilantik oleh Syarikat Takaful untuk memberikan pandangan serta pendapat Shari’ah untuk menentukan aktiviti-aktiviti syarikat adalah selaras dengan kehendak Syarak.

Kertas ini bertujuan untuk membincangkan beberapa isu serta fatwa-fatwa yang telah diberikan oleh beberapa badan antarabangsa seperti Maj’ma Al-Fiqh Al-Islami serta Amanah Al-‘Aamah lil Hay’ah al-Shar’iyyah li Majmu’ah Dallah al-Barakah serta badan-badan fatwa lain. Objektif perbincangan ini ialah untuk mendedahkan peserta kepada keputusan-keputusan yang telah diambil dalam beberapa isu berkaitan takaful agar dapat dijadikan panduan dalam membuat sesuatu keputusan berkaitan industri takaful. Kaedah yang akan digunakan ialah dengan membentangkan fatwa-fatwa yang diberikan dalam isu-isu terpilih serta memberi komen jika perlu. Adalah menjadi harapan semua agar satu bentuk penyeragaman atau standard dapat dicapai dalam membuat keputusan berkaitan takaful untuk memudahkan pihak industri melaksanakan keputusan-keputusan yang telah dicapai. Usaha ini juga diharap akan mendekatkan jurang antara keputusan-keputusan yang dicapai diperingkat global. Antara isu-isu yang akan dibincangkan termasuk isu hukum menyertai insurans konvensional, agihan lebihan (fa’id) dana tabung takaful, objektif penubuhan syarikat takaful, muamalat dengan orang bukan Islam dalam takaful, takaful semula (re-takaful) dan bayaran zakat untuk syarikat takaful.